Arwa binti Kuraiz adalah ibu dari Khalifah Usman bin Affan. Arwa menikah dengan Affan bin Abi al-Ash mendapat dua orang anak iaitu Usman dan Aminah. Dia adalah srikandi yang terkenal dengan sifat dermawan, murah hati dan menghormati orang lain. Arwa adalah anak daripada hasil perkahwinan Ummu Hakim binti Abdul Mutalib dan Kuraiz bin Rabiah. Arwa mempunyai empat adik-beradik yang bernama Amir, Arwa, Talhah dan Ummu Talhah. Selepas Arwa kehilangan suaminya iaitu Affan, dia dilamar oleh Uqbah bin Abu Muith. Perkahwinan mereka mendapat enam orang anak iaitu Wahid, Imarah, Khalid, Ummu Kalsum, Ummu Hakim dan Hindun.
Arwa adalah ibu yang baik. Dia adalah srikandi yang memainkan peranan penting semasa Usman mahu memeluk agama Islam. Uqbah bin Abi Muith benci kepada Nabi Muhammad dan orang Islam. Uqbah mendapat tahu Usman sudah dekat dengan agama Islam. Uqbah menjadi semakin marah, lalu berjumpa Arwa. "Awak tahukah apa yang anak awak lakukan sekarang?" tanya Uqbah kepada Arwa. "Mengapa awak tanya begitu? Apakah kesalahan yang Usman lakukan kepada awak?" tanya Arwa pula. Suami menjawab dengan pantas, "Untuk pengetahuan awak, Usman sekarang sudah besar kepala. Dia tidak hiraukan nasihat saya lagi. Usman sedang sibuk dengan agam Islam. Dia cuba mempermainkan agama nenek moyang kita".
Arwa hanya mendengar cerita suaminya, Kemudian suaminya berkata lagi, "Awak tidak malukah dengan perangai Usman itu? Anak awak sibuk membantu Nabi Muhammad menyebarkan agama Islam. Awak tidak malukah anak awak memuji dan mengagung-agungkan Nabi Muhammad dan agama Islam?" Lantas Arwa menjawab pertanyaan suaminya, "Mengapa saya hendak malu dengan anak saya. Usman buat perkara baik. Nabi Muhammad mengajar dia perkara yang baik-baik". Uqbah meluat mendengar Arwa memuji Nabi Muhammad dan agama Islam. Arwa berkata lagi, "Usman adalah anak yang baik. Dia tidak pernah melawan dan membantah kata-kata saya. Sejak dia mengikut ajaran Nabi Muhammad, sikapnya menjadi semakin baik. Biarkan dia mengikut Nabi Muhammad. Saya juga suka dengan cara Nabi Muhammad".
Uqbah naik berang lalu berkata: "Awak memang degil. Awak sengaja biarkan anak awak rapat dengan Nabi Muhammad. Saya tidak akan beri sebarang pertolongan kepada awak sekiranya Nabi Muhammad dan pengikutnya mengapa-apakan awak". "Tidak mengapa Uqbah. Saya yakin Nabi Muhammad itu baik hati," kara Arwa pula. Uqbah menjadi semakin marah, lalu meninggalkan Arwa sendirian. Kemudian, Usman pulang ke rumah. Dia melihat wajah ibunya. Arwa pun menghampiri anaknya. Arwa pun berkata, "Bapa tiri awak sudah tahu awak bergiat aktif dengan agama Islam. Awak jangan bimbang, ibu akan cuba pertahankan awak daripada diapa-apakan oleh bapa tiri awak itu".
Pada masa itu, Arwa dan suaminya belum memeluk agama Islam. Mereka masih menganut agama nenek moyang mereka. Usman begitu gembira mendengar ibunya menyokong kuat penglibatannya dalam agama Islam. Usman pun berkata kepada ibunya, "Wahai ibu yang saya sayangi, marilah sama-sama kita menerima agama Islam. Islam adalah agama yang baik dan benar. Ibu akan selamat di dunia dan di akhirat apabila ibu menjadi Islam". Arwa begitu terharu mendengar penjelasan anal lelakinya itu. Kemudian, dia berkata kepada anaknya, "Wahai Usman, ibu bangga dengan diri awak. Ibu juga tertarik dengan agama Islam. Mulai pada hari ini, ibu mahu menjadi orang Islam." Usman begitu gembira mendengar berita daripada ibunya itu. Arwa kemudiannya berjumpa Nabi Muhammad dan memberitahu kepadanya tentang niatnya itu. Arwa mengucap dua kalimah syahadah. Arwa sah menjadi seorang Islam.
Selepas itu, Arwa berhijrah ke Madinah. Anak perempuannya yang bernama Ummu Kalsum juga memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah. Menurut sejarah Islam, semasa Perang Badar, Uqbah ditawan lalu dibunuh oleh tentera Islam. Arwa begitu bertuah kerana menjadi ibu kepada Usman bin Affan. Dia begitu dihormati oleh Nabi Muhammad. Dia adalah ibu mentua yang baik kepada puteri Nabi Muhammad iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalsum. Arwa meninggal dunia ketika umurnya 90 tahun iaitu pada tahun 5 Hijrah. Usman begitu sedih dengan kematiannya. Usman bersembahyang di masjid sendirian. Semasa dia bersujud, dia berdoa kepada Allah, "Ya Allah, ampunilah dosa ibu saya. Saya begitu sayang kepada ibu. Ya Allah, kasihanilah dan sayangilah ibu saya. Tempatkan ibu saya dalam golongan orang yang baik-baik".